Popular Posts

Thursday, April 12, 2012

Allah Bersamanya, Bagaimana Boleh Dikatakan Berseorangan?


SOALAN
Apakah hakikat ilmu?
JAWAPAN
Benarlah kisah Hatim dengan gurunya, Syaqiq al-Balkhi. Syeikh Syaqiq al-Balkhi bertanya kepada muridnya Hatim al-Asam: “Sudah berapa lama awak belajar denganku?” Jawab Hatim: “Tiga puluh tiga tahun, guru.” Tanya Syaqiq: “Berapa banyak ilmu yang kamu petik?” Jawab Hatim: “Hanya lapan masalah sahaja.” Terkejutlah gurunya seraya berkata: “Tiga puluh tiga tahun hanya lapan masalah?” Jawab Hatim: “Benar guru. Saya tidak berdusta.” Gurunya, Syaqiq berkata: “Sila datangkan lapan masalah tersebut.” Kata Hatim:
Pertama: Aku lihat kepada makhluk. Setiap orang mempunyai barang kesayangannya tetapi bila sampai ke kubur, nescaya berpisah. Justeru aku jadikan kesayanganku segala kebajikanku supaya ia kekal bersamaku dalam kubur.
Kedua: Aku lihat firman Allah s.w.t dalam Surah al-Naziyat, ayat 40 (yang bermaksud):
“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya.”  
Justeru, aku  bersungguh mujahadah nafsu hingga stabil dalam ketaatan kepada Allah s.w.t.
Ketiga: Aku lihat setiap orang ada mempunyai barang yang berharga yang disimpannya. Kemudian aku lihat ayat Allah s.w.t dalam Surah al-Nahl, ayat 97 (yang bermaksud):
“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.”
Tatkala dapat bagiku sesuatu yang berharga  nescaya aku hadapkannya (kepada Allah dengan bersedekah) supaya sentiasa kekal di sisiku.
Keempat: Sesungguhnya aku lihat ramai manusia bermegah dengan harta kekayaan, nasab keturunan, dan kemuliaan. Sedangkan semuanya tiada nilai. Lantas aku lihat firman Allah s.w.t dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 (yang bermaksud):
“Hai manusia. Sesungguhnya, Kami ciptakan kamu dari kalangan laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Justeru aku beramal untuk bertakwa supaya aku mulia di sisi-Nya.
Kelima: Sesungguhnya aku lihat manusia saling berhasad dengki. Kemudian aku lihat ayat Surah al-Zukhruf, ayat 32 (yang bermaksud):
“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara kerohanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik daripada kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.”
Justeru aku tinggalkan hasad.
Keenam: Aku lihat kebanyakan mereka saling bermusuhan. Kemudian aku lihat firman Allah s.w.t dalam Surah al-Fathir, ayat 6 (yang bermaksud):
“Sesungguhnya, syaitan itu adalah musuh bagimu. Maka anggaplah ia musuhmu kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.”
Justeru aku tinggalkan permusuhan dengan mereka dengan hanya menjadikan syaitan sahaja sebagai musuh.
Ketujuh: Aku lihat manusia sanggup menghina diri kerana mencari rezaki. Bila aku lihat firman Allah s.w.t  dalam Surah Hud, ayat 6 (yang bermaksud):
“Dan tidak ada suatu binatang yang melata di bumi, melainkan Allah-lah  yang memberi rezeki-Nya dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).” 
Justeru aku sibukkan dengan apa yang menjadi amanahku dan meninggalkan urusan rezeki kepada Tuhanku.
Kelapan: Aku lihat mereka bergantung kepada perniagaan hasil buatan dan kesihatan mereka tetapi aku bertawakkal kepada Allah. Jawab gurunya Syaqiq: “Sesungguhnya aku lihat di dalam Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran. Dan inilah intipati kitab samawi yang empat ini. Siapa beramal dengan lapan masalah itu nescaya dia beramal dengan keempat-empat kitab.”

SOALAN
Ditanya kepada seorang soleh:  Apakah engkau tidak jemu kerana kesunyian?
JAWAPAN
Orang itu menjawab: “Bagaimana mungkin saya akan jemu padahal Allah berkata: “Aku adalah zat yang duduk di antara orang-orang yang mengingati Aku.”
Dan dikatakan kepada ahli hikmah yang lain: “Kami lihat kamu sedang berseorangan?” Maka orang itu menjawab: “Orang yang Allah s.w.t bersamanya, bagaimana boleh dikatakan berseorangan?”
Dan dikatakan kepada ahli hikmah yang lain: “Apakah engkau bersama orang yang menyayangimu?” Maka dia menjawab: “Ya”. Kemudian dia ditanya lagi: “Dimanakah Dia?” Ahli hikmah itu menjawab: “Di hadapanku, di belakangku, di kananku, di kiriku, di atasku dan bersamaku.”

SOALAN 
Bagaimanakah cara solat yang terbaik?
JAWAPAN
Cara solat yang terbaik adalah seperti berikut:
a)       Melaksanakan solat tepat pada waktunya
Apabila kita sering menunda sehingga berlalu waktunya, maka Allah s.w.t tidak akan menerimanya kecuali kerana uzur (alasan yang diperbolehkan Islam) dan itu akan sia-sia belaka dan akan dilemparkan kembali kepada muka orang tersebut. Lalu sembahyang itu akan berkata: “Kamu akan disia-siakan Allah s.w.t sebagaimana kamu mensia-siakan aku!”
Dan ibadah yang pertama kali dihitung daripada seorang hamba pada hari kiamat kelak adalah sembahyang. Sesiapa yang memelihara sembahyangnya, maka Allah akan memeliharanya tatkala berbagai pemahaman tidak berguna lagi, akal-akal telah sesat dan pemikiran-pemikiran tidak boleh difungsikan lagi.
Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abdullah bin Mas’ud r.a tatkala Abdullah bertanya kepada beliau tentang ibadah yang paling utama dan yang paling baik. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Melaksanakan sembahyang tepat pada waktunya.”
b) Melaksanakan sembahyang dengan berjemaah
Tidak ada sembahyang kecuali dengan berjemaah melainkan kerana uzur. Tatkala orang yang memanggil di masjid-masjid untuk melakukan sembahyang, tatkala sang muazzin memanggilmu dengan mengatakan: “Mari kita melaksanakan sembahyang, mari kita meraih kebahagiaan”, lalu kamu beranjak dari tempat tidurmu dan kamu pun bersegera pergi ke masjid, supaya kamu dipelihara oleh zat Yang Maha Mengetahui alam ghaib.
c) Melaksanakan solat dengan penuh khusyuk dan tunduk
Iaitu dengan cara sentiasa khusyuk dengan imam, tatkala dia membaca ayat-ayat Allah s.w.t, kamu juga mendengar al-Quran yang sangat ajaib ini dan khabar yang besar, yang telah mengetuk pintu dunia, hendaklah kamu mengetahui bahawa kedudukan manusia di akhirat kelak di hadapan Allah SWT umpama seperti kedudukan mereka ketika melakukan sembahyang, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam Ibnu al-Qayyim.

SOALAN
Apakah keutamaan melaksanakan Qiamullail?
JAWAPAN
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’ ayat 79, yang bermaksud:
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu-pada hari akhirat – di tempat yang terpuji.”
Qiamullail ialah solat malam yang dinamakan Tahajjud jika dilakukan selepas tidur. Ini kerana perkataan tahajjud bererti meninggalkan tidur. Qiamullail ialah solat sunat yang tidak ditentukan bilangan rakaatnya dan dilakukan selepas terjaga daripada tidur sebelum azan Subuh.
Adapun mengenai keutamaan melaksanakan Qiamullail telah pun dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang dinyatakan sohih oleh kebanyakan ulama, iaitu sabda baginda yang bermaksud:
“Hendaklah kalian melakukan qiamullail, kerana ia dapat menebus kesalahan dan dosa-dosa. Qiamullail adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu dan pemusnah penyakit dari tubuhmu.”
Maksud daripada pemusnah penyakit disini ialah qiamullail, dia dapat menyihatkan tubuh badan dengan izin Allah s.w.t.
Oleh kerana itu, kebanyakan ulama mengatakan: “Sesungguhnya orang yang membiasakan qiamullail nescaya Allah s.w.t akan menganugerahkan baginya kesihatan dan kekuatan pada tubuhnya.”

Thursday, March 17, 2011

Awas Waktu Senja

0
Dari Jabir r.a katanya:"Jangan biarkan ternakan dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja."(Riwayat Muslim)
Waktu senja adalah waktu matahari hampir terbenam (lebih kurang pukul tujuh malam) iaitu ketika hari hampir akan malam.
Waktu begini adalah saat di mana seseorang itu sepatutnya bersedia untuk menguruskan keperluan diri termasuklah bersiap sedia untuk ke masjid dan menunaikan solat maghrib. Maka adalah tidak wajar pada ketika tersebut anak-anak masih dibiarkan bermain-main di luar rumah memandangkan bahawa di saat inilah syaitan keluar untuk mengganggu manusia dan dibimbangi jika berlaku rasukan syaitan dan sebagainya.
Photo by: DeynaRashid
Diriwayatkan dari Jabir RA. : Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "ketika malam turun, dekatkanlah anak-anak kalian kepadamu, karena waktu itu setan bertebaran. Sejam kemudian, kalian dapat melepaskan mereka; dan tutuplah pintu-pintu rumahmu dan sebutlah nama Allah, padamkanlah lampumu dan sebutlah nama Allah, tutuplah minumanmu dan sebutlah nama Allah, tutuplah juga bejanamu dan sebutlah nama Allah, sekalipun hanya dengan meletakkan sesuatu di atasnya". [Riwayat Bukhari]
 -Artikel iluvislam.com